EKZEMA berpunca daripada gabungan pelbagai faktor seperti faktor asas dan faktor pencetus. Faktor asas ialah faktor yang tidak boleh dielakkan seperti genetik atau keturunan. Faktor genetik dapat menjelaskan mengapa ekzema hanya dialami oleh segelintir orang dan bukan semua orang.
Kulit terdiri daripada 3 lapisan. Lapisan yang paling atas boleh diibaratkan seperti dinding yang melindungi keseluruhan badan. Punca genetik menyebabkan lapisan ini hilang daya pelindung dan memberi peluang kepada organisma serta bahan kimia dari luar untuk menembusinya. Ini merupakan titik permulaan kepada ekzema.
Sistem keimunan pesakit ekzema juga bertindak balas secara berbeza. Ini tidak bermaksud sistem ini lemah, tidak aktif atau terlalu aktif. Ianya masih normal tetapi bertindak secara berlainan dari biasa terhadap rangsangan unsur-unsur dari luar dan dalam badan.
Terdapat juga penyakit-penyakit genetik yang berhubung kait dengan penyakit ekzema. Antaranya adalah seperti berikut:-
- Resdung (allergic rhinitis) (kerap bersin dan hidung berair sewaktu sejuk atau berhabuk, hidung gatal)
- Allergic conjunctivitis (mata merah, berair dan gatal terutama apabila terdedah kepada habuk)
- Gegata (urticaria)
- Lelah/ asma (asthma)
Kerapkali, ekzema yang tidak serius mungkin tidak akan disedari kerana impaknya yang ringan. Contoh manifestasi ekzema ringan adalah seperti kelemumur, tumit merekah, bibir kering, tompokan kulit kering pada kaki dan tangan serta kulit sensitive seperti gigitan nyamuk mengambil masa yang lama untuk sembuh.
Faktor pencetus ekzema pula ialah faktor-faktor yang menyebabkan sesuatu episod ekzema itu timbul atau menjadi aktif. Faktor-faktor pencentus ekzema lazimnya melibatkan persekitaran dan dapat dielakkan. Berikut adalah berberapa contoh pencetus ekzema:
- Rengsa (irritant) seperti cuaca yang panas dan berpeluh atau cuaca yang sejuk dan kering (penggunaan pendingin hawa yang berpanjanganan, fabrik pakaian yang kasar atau sabun yang mengadungi bahan pencuci (detergent) yang kuat)
- Tekanan dari segi mental atau fizikal juga boleh mencetuskan ekzema
- Allahan (allergy) seperti hama habuk (house dust mite), bulu dari haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing dan debunga
- Kuman staphylococcus yang terdapat pada kulit dapat mencetus ekzema. Bakteria ini dapat menembusi lapisan dinding kulit yang telah hilang daya pelindung dan menyebabkan kerosakan. Kulit ekzema juga lebih mudah terjangkit dengan virus.
- Menggaru. Ekzema menyebabkan kulit menjadi gatal. Tindakan menggaru kulit menyebabkan penghasilan histamine dalam badan yang menjadikan seseorang itu merasa lebih gatal. Menggaru juga boleh menyebabkan kulit melecet yang memberi peluang kepada kuman menembusi kulit dan menyebabkan jangkitan.
- Makanan jarang menjadi penyebab ekzema. Sekiranya makanan adalah pencetus kepada ekzema, keadaan kulit akan menjadi lebih teruk secara tiba-tiba (dalam masa 24 hingga 48 jam) selepas makan makanan tersebut. Ekzema yang berpunca daripada alahan boleh sembuh sepenuhnya jika punca alahan tersebut dapat di kenal pasti dan dielakkan.
No comments:
Post a Comment